Thursday, 14 April 2016

Airmata Keinsafan

Terima kasih tuan pengerusi majlis,barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,penjaga masa yang tidak pernah lari dari waktunya,guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati.Pada pagi ini,saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk 'Airmata Keinsafan'.
    Aliya melihat jam di tangan kanannya.Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam."Ish,hari sudah lewat malam.Mengapa mataku masih belum terlelap dan perasaanku terasa aneh?"keluh Aliya lantas membuka lampu biliknya.
    "Emm,sementara mataku masih belum terlelap,ada baiknya kalau aku baca buku yang aku ambil dari Aishah tadi."fikir Aliya lalu mencapai beg sekolahnya lalu mengambil buku ceritanya.Dia tersenyum sendirian mengingati wajah masam Aishah.Tangisan Aishah masih terngiang-ngiang di telinganya.
    "Kak,janganlah ambil buku ini.Ini buku kesayangan saya,kak."rayu Aishah."Ah!Kau kan anak orang kaya?!Belilah buku lain!"marah Aliya.Dia tidak menghiraukan tangisan di pipi Aishah.
    "Tapi kak,itu buku pemberian ibu saya."rayu Aishah lagi."Apa aku kesah?!"kata Aliya lalu menolak Aishah jatuh tersungkur.
    Mata Aliya kian mengantuk setelah membaca beberapa helaian buku.Namun,dia bertekad untuk menghabiskan pembacaannya malam itu juga.Aliya pun pergi ke dapur untuk menjerang air dan membancuh kopi agar matanya kembali segar.Dia sengaja membesarkan api agar air yang dijerangnya cepat mendidih.Sementara menuggu airnya masak,Aliya pun kembali membaca buku yang dibacanya tadi.

Mata Aliya kian mengantuk dan tersengguk-sengguk.

     Tiba-tiba,Aliya merasakan bahang yang amat panas.Bajunya basah bermandikan peluh.Dia dapat menangkap beberapa suara orang memanggil namanya.Aliya pun membuka matanya perlahan-lahan.Dia melihat rumah papannya sedang dijilat api.
    "Tolong!Tolong nek!Tolong saya Tok Wan!"jerit Aliya sekuat hati.Jantungnya berdegup kencang.Dia hanya dapat memikirkan soal mati.Rasa menyesal meliputi hatinya.Dia dapat merasakan kepanasan yang bakal dirinya terima apabila dia dihumban ke dalam api neraka akibat dosa-dosa yang dilakukannya.
    Aliya memikirkan orang di sekelilingnya yang selalu disakitinya terutamanya neneknya.Neneknyalah yang bersusah pahayah membesarkannya setelah ditinggalkan oleh bapanya."Aliya,jika kamu dalam kesusahan,berdoalah kepada Allah kerana hanya Dialah yang dapat membantumu."terngiang-ngiang pesanan Tok Wan di telinga Aliya.
    "Ya Allah,aku menyesal atas perbuatanku.Kau ampunkanlah dosaku.Ya Allah tolonglah hambamu ini."doa Aliya sambil memeluk erat Al-Qurannya.
    "Aliya,alhamdulillah kamu terselamat dari kebakaran itu.Mungkin kerana kamu memeluk Al-Quran itu dengan erat.Sungguh,kami tidak dapat mengambil Al-Quran yang berada dalam pelukanmu."kata Nazira jiran sebelah rumah Aliya.
    "Syukur alhamdulillah ya Allah kerana engkau telah menyelamatkanku dan memanjangkan umurku agar aku dapat bertaubat atas dosa-dosaku.Ya Allah,aku berjanji aku akan menjadi insan yang berguna."bisik Aliya dalam hatinya.
    Ya,kawan-kawan.Pengajaran daripada cerita ini ialah,yang pertama,kita haruslah bersabar dengan dugaan hidup.Yang kedua,kita mestilah taat kepada perintah agama.Ketiga,janganlah membuli orang yang lebih lemah dari kita.Keempat,kita haruslah menghormati orang yang lebih tua dari kita.
    Sekian,terima kasih.

Pemotong Kayu Yang Jujur

    Terima kasih Tuan Pengerusi majlis,barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,penjaga masa yang tidak pernah lari dari waktunya,guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati.Pada pagi yang ceria ini,saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk 'Pemotong Kayu Yang Jujur'.

Dengarkanlah,pedoman ini,
Nasihat untuk diingati,
Si pemotong kayu yang jujur,
Ayuh,dengarkan bersama,

    Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman,tinggalnya seorang lelaki yang tua dan miskin yang bernama Pak Halim.Kemahirannya hanyalah dengan memotong pokok kayu yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api.Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.
    Dijadikan cerita,takdirnya pada suatu hari pergilah Pak Halim jauh ke dalam hutan untuk mencari kayu api.Tidak seperti kebiasannya,Mak Melah,isteri Pak Halim tidak dapat menemaninya kerana telah jatuh sakit.Maka pergilah Pak Halim seorangan ke dalam hutan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api.
    Seharianlah Pak Halim menebang pokok kayu yang sederhana besarnya menggunakan kapak besi yang uzur,seuzur usianya.Sehingga kepenatan tidak jua dia berhenti.Lama kelamaan,genggamannya semakin lemah.Kapaknya pun terlepas dari tangannya dan terjatuh ke dalam sungai yang dalam.
    Alangkah sedihnya hati Pak Halim apabila kapak besi kesayangannya yang menjadi punca rezekinya telah hilang.Hendak terjun mencari,tetapi,nanti disambar oleh arus pula.Merataplah Pak Halim mengenangkan nasibnya yang kurang baik itu.Maka,pari-pari di langit pun bersimpati lalu menyapanya."Wahai manusia,mengapakah engkau bersedih sedemikian?".
   Dengan perasaan terkejut diperamati benar-benar,maka tahulah Pak Halim bahawa pari-pari telah menyapanya.Dengan terketar-ketar,Pak Halim menjawab."Wahai pari pari,kapak kesayanganku telah terjatuh ke dalam sungai ini."
   "Hmm,baiklah,aku akan menolongmu mencari kapakmu yang tenggelam itu."lalu dengan serta merta pari-pari pun terjun ke dalam sungai itu.Beberapa minit kemudian,timbullah pari-pari dengan sebilah kapak emas.
    Dengan perasaan sedih dan sayu,Pak Halim berkata."Bukan,bukan ini kapak kesayangan hamba.Tidak mampu untuk hamba memiliki kapak seperti ini."lalu sekali lagi pari-pari pun terjun ke dalam sungai dan kemudian timbul bersama kapak perak.Namun,Pak Halim masih enggan mengakui bahawa itu adalah kapaknya.
    Si pari-pari pun terjun lagi ke dalam sungai dan kembali bersama kapak gangsa sehinggalah pari-pari timbul bersama kapak yang kelihatan sangat uzur.Apabila terpandangkan kapak itu,Pak Halim berasa gembira kerana itulah kapaknya yang dicari-cari.Pari-pari pun menyerahkan kapak itu kepada Pak Halim.Kerana kejujurannya,kapak emas,perak dan gangsa turut dihadiahkan kepadanya.Alangkah gembiranya Pak Halim apabila menerima kapak-kapak itu.
    Pak Halim pun terus pulang ke rumah lalu menceritakan perkara yang berlaku kepada Mak Melah.Mak Melah berasa gembira dan bangga atas kejujuran suaminya itu.Keesokan harinya,Mak Melah pun sihat dan mereka hidup aman bahagia.
    Ya kawan-kawan,ambillah pengajaran daripada cerita yang saya sampaikan sebentar tadi.Pengajaran yang pertama ialah,kita mestilah jujur walau dalam apa keadaan sekalipun.Pengajaran yang kedua pula,kita haruslah bekerja keras apabila mencari rezeki.

Kalau ada sawah padi,
Dapat kita menanam padi,
Kalau ada umur panjang,
Dapat kita berjumpa lagi.

Sekian sahaja cerita saya,terima kasih.